'Berhenti Membeli Belah, Mulakan Kehidupan'
Slogan ini bukannya membawa maksud berhenti berbelanja secara mendadak. Tetapi, berbelanja secara berhemat dan mula berfikir tentang kehidupan. Contohnya, simpan duit untuk perbelanjaan masa hadapan seperti yuran kemasukan universiti swasta jika tidak layak masuk universiti awam, perbelanjaan kecemasan seperti pembedahan penyakit kronik, dan perbelanjaan untuk keluarga apabila sudah berumah tangga. Sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah mengurangkan membeli belah secara boros dan hendaklah berbelanja secara berhemah.
Kebanyakkan rakyat zaman kini terbiasa membeli barang lebih daripada keperluan. Pantang nampak barang yang cantik, laju sahaja membeli tanpa memikirkan kewajaran membelinya. Ramai yang suka menghabiskan wang secara berlebihan dengan membeli-belah melebihi keperluan. Mereka berbelanja mengikut kemahuan dan nafsu sehingga terdesak untuk meminjam wang. Contohnya, penggunaan kad kredit dan pinjaman ALONG. Akibatnya bebanan hutang semakin bertambah jika tidak dapat melunaskan pinjaman tersebut mengikut perjanjian atau tarikh yang ditetapkan.
Sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah menerapkan berbelanja secara berhemah dalam diri dengan beberapa cara iaitu:
1. Menetapkan perbelanjaan bulanan dengan nisbah 3:1 untuk keperluan dan kemahuan
2. Menyenaraikan barang keperluan sahaja ketika membeli belah.
3. Berusaha sebaik mungkin untuk membeli belah secara berseorangan.
4. Berfikir dua kali sama ada barang yang hendak dibeli merupakan keperluan atau kemahuan.
Akhir kata dari saya, kita haruslah berhenti membeli belah secara berlebihan kerana ianya akan membawa padah serta merugikan diri dan ekonomi negara. Sesungguhnya agama Islam telah mengajar kita cara berbelanja sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam Al-Qur'an dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu hendaklah dengan cara yang sederhana, tidak berlebih-lebihan atau membazir, apatah lagi sampai berhutang melebihi had kemampuan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Furqaan ayat 67 :
Maksudnya: "Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu".


0 comments:
Post a Comment